Saturday, February 3, 2018

Dari Kaki Ke Pena Hitam: Menjunam

Dari Kaki Ke Pena Hitam: Menjunam

Karier beliau bermula sebagai seorang pemain muda paling berpotensi yang pernah bermain di posisi tengah di dalam negara ini. Namanya mula dicanang sebagai jelmaan semula Azizul Abu Hanifah. Fuuh..seluruh negeri Perak beristighfar.
Beliau kemudiannya menggegar Malaya dengan menjaringkan gol jarak jauh yang cantik pada perlawanan menentang Bahrain untuk Kelayakan Olimpik. Peminat Bahrain menggeleng kepala tidak percaya wujudnya pemain jenis ini di sebuah negara yang mata wangnya jauh lebih rendah berbanding dollar. Aku pula takkan lupa dengan jaringan minit ke-29 ini kerana ia dihiasi latar suara pengulas Arwah Hasbollah Awang dengan nada yang berapi-api.

Peluang bermain di Portugal dengan kelab bola sepak Beira-Mar disambar dengan pantas tak patut punya. Namanya pantas meniti di serata jalanan. Anak-anak kecil mula memasang angan untuk menjadi pemain bola sepak seperti  beliau. 

Seperti ada yang tidak kena, beliau akhirnya pulang ke Tanah Melayu. Beribu kemungkinan timbul. Rindu makwe, rindu nasik lemak, roti canai...hanya beliau sahaja yang tahu.

Selangor PKNS dan Selangor menjadi destinasi seterusnya. Ketika ini nampak agak cerah sedikit karier beliau walaupun sidrom 'lepas umur 23 tahun aje pemain Malaysia terus lupa cara main bola' kadangkala terserlah di atas padang.

Tidak mengapalah kalau orang dah tak suka..

Beliau akhirnya memilih untuk ke selatan tanah air bagi mengembangkan perjalanan bola sepaknya. Seluruh Selangor redha sambil mecarut di dalam hati. Tetapi siapalah kita untuk menidakkan kuasa duit? Ye tak?

November 2016

"Kami akan hantar beliau ke Jepun."

Itulah perkhabaran dari selatan sebaik sahaja pemain ini menyertai pasukan mereka. Tidak dapat diketahui kelab mana yang diperginya. Sempat ke beliau belajar adat-adat orang Jepun? Sempat ke  belajar sepatah dua kata orang-orang Jepun? Entahla...aku pun keliru dalam hal ini.

Pada bulan April 2017 aku nampak beliau menjaringkan gol cantik menentang Beoungket Angkor di Piala AFC. Sudah kembali dari Jepun barangkali. Dan aku masih yakin potensi beliau masih tinggi untuk muncul 'regular' dalam pasukan Senior Malaysia sekiranya minit permainan dalam semusim mencukupi.

Tanggal 2 Februari 2018 aku melihat beliau bermain untuk pasukan kedua kelab bola sepak dari selatan tersebut. Atau dalam bahasa rasminya 'feeder club' yang bermain dalam liga tahap kedua di negara ini.

Sayu hati aku melihat gejala seperti ini. Apa yang ada dalam fikiran pemain bola sepak di negara kita sebenarnya? Aku malu dengan pemain-pemain Eropah yang berpindah pasukan semata-mata demi mencerahkan peluang mereka untuk bermain di Piala Dunia 2018 nanti. Apa aku jawab dengan Theo Walcott nanti kalau dia tanya aku pasal Nazmi Faiz? Hah?











No comments:

Post a Comment

Silakan Laser Saye...