There was an error in this gadget

Monday, September 18, 2017

Dari Kaki Ke Pena Hitam: Mengharap Sead Kolasinac.


Dari Kaki Ke Pena Hitam: Mengharap Sead Kolasinac.

Sebenarnya aku nak tulis serba sedikit pasal Sead Kolasinac ni sebelum perlawanan antara Chelsea dan Asenal. Malangnya ia bertembung dengan waktu prima kemunculan video Fathia Latiff yang rancak menunjuk pusat. Pada malam tersebut dua tetingkap laman sesawang aku buka serentak. Sead Kolasinac dan Fathia Latiff. Namun akhirnya laman sesawang Fathia Latiff berjaya menewaskan Sead Kolasinac tanpa melawan. Jadi aku batalkan niat menulis tentang pemain ini sebelum perlawanan Chelsea-Arsenal. Dan menyimpannya sehingga tamat laga kedua pasukan ini.

Sebenarnya tidak sukar untuk Kolasinac membuatkan minat aku terbit padanya. Empat penampilan mantap dalam Liga Perdana Inggeris dengan satu gol menarik dalam Piala Europa menjadi penanda arasnya setakat ini. Berbadan tegap serupa mesin basuh 20kg. Inilah ciri-ciri pemain pertahanan yang diidamkan oleh jurulatih seluruh dunia kecuali Malaysia. Ini kerana sebagai contoh Malaysia masih percaya dengan pemain kecil molek seperti Nazirul Naim dalam tugasan bertahan. Untuk kali ini kita biarkan hal ini barang seketika.

Jangkaan aku hampir tepat sebenarnya apabila Kolasinac mendatangkan kesukaran kepada Chelsea sehinggakan David Luiz terpaksa berkorban demi pasukan kami. Walaupun pada dasarnya tindakan Luiz itu berpunca daripada Alexis Sanchez yang terhegeh-hegeh mengejarnya dari belakang dan mendatangkan kemarahan Luiz. Luiz adalah bangsa Brazil. Bangsa Brazil pantang disauk kakinya dari belakang. Kelak ia akan membangkitkan baran di jiwa.

Berbalik kepada hal Kolasinac tadi. Adakah pemain ini jawapan kepada permulaan hambar pasukan Arsenal musim ini? Inikah kombinasi pemain dan taktikal paling mapan serta lestari buat Arsenal apabila menghadapi enam pasukan atasan liga? Hanya masa yang akan tentukan. Dan tidak salah buat penganut The Gunners mengharap pada Kolasinac. Kesian jugek Arsenal duduk nombor dua belas ni aku tengok. Dengan pasukan lawan yang tinggal sepuluh pemain pun tak dapat nak kalahkan. Lemah.

Sementara itu kem Chelsea masih tenang walapun tidak beroleh tiga mata minggu ini dan David Luiz pula digantung tiga perlawanan - termasuk pertemuan menentang Manchester City pada 1 Oktober nanti. Tidak ada apa yang perlu dirisaukan oleh adik kakak sekalian kerana Chelsea adalah sebuah pasukan power segenap posisi berlapis-lapis dahsyatnya. Umum sudah mengetahuinya sejak dahulu lagi.

Okaylah aku nak tido. Semoga berjumpa lagi. Selamat Tahun Baru 1439 Hijriah.

Nota bola: Aku sempat nengok game Juventus lawan Sassulo. Punyalah power Paulo Dybala 10 skor hatrik. Sergio Aguero pun sumbat hatrik minggu ni. Adakah dua ekor ini mampu mengubah nasib Argentina dalam kempen kelayakan Piala Dunia nanti? Hah!

Monday, September 11, 2017

Dari Kaki Ke Pena Hitam: Menghisap Dadah



Dari Kaki Ke Pena Hitam: Menghisap Dadah

Mengikut kajian dari tahun 2012 sehingga 2014, sebuah tempat bernama Liverpool telah mencatatkan rekod seramai 116 orang manusia mati kerana kesalahan pengambilan dadah. Manakala bagi musim 2014/15 pula seramai 278 umat Liverpool dibawa ke Hospital Besar atas masalah dadah dan yang berkaitan dengannya. Ini bersamaan dengan 58 orang dari 100,000 penduduk - yang tertinggi di England. Hanya di Liverpool. Bukan London, bukan Manchester. Hanya di Liverpool. Ini adalah fakta dan bukan cerita rekaan.

Dahulu seorang pujangga tua berjambang kuning dari Gunung Ledang pernah berkata.

"Sebelum game bola jangan sesekali berani isap dadah. Jika isap membawa padah."

Selepas itu si pujangga tua berjambang kuning dari Gunung Ledang ini mengulanginya dalam bahasa Inggeris pula.

"You should not dare to suck the drug before the football game. It is danger."

Cilake jugek dah macam guna google translate pulak. Aku dengar amanat ni pun masa dalam mimpi aku selepas selesai solat Maghrib. Macam nak percaya, macam tidak. Bukannya apa takut jelmaan syaitan pulek. Tetapi selepas menonton sendiri perlawanan antara Liverpool dan Manchester Biru Cair, aku menjadi percaya akan mimpi ini.

Sedara-sedari sekalian, cikebum cikebum, itulah yang dilakukan oleh Ragnar Klavan, Joël Matip, Alberto Moreno dan seorang lagi pertahanan tahap MSSD pasukan Liverpool FC - Alex Arnold. Apakah signifikannya semua ini?

Jika bukan angkara dadah, masakan mereka berperangai khayal melepaskan 5 gol sekaligus tanpa rasa malu. Sepatutnya selepas perlawanan menentang Manchester City hari tu, adalah lebih afdal dilakukan ujian air kencing ke atas mereka berempat ini. Dan kita semua masih ingat apa yang berlaku kepada Mamadou Sakho. Tapayalah kita pergi jauh bercerita tentang masalah taktikal Klop dan kekhilafan sang pengadil. Kad merah mak nenek Mane dan segala hal berkaitannya. Puncanya adalah dadah. Dadah adalah musuh negara. Bukan sahaja di Malaysia, malahan juga England. Bermain bola sepak di bawah pengaruh dadah ni akibatnya sangat  buruk. Sebagai contoh pasukan bola sepak Malaysia juga pernah melepaskan 10 gol gaya isap dadah.

Tidak mengapalah. Kita doakan pasukan Liverpool insaf dan segera bertaubat. Mereka pun akan melayan kunjungan Sevilla dalam perlawanan pertama peringkat kumpulan Champions League pada hari Rabu ni nanti. Moga perkara yang baik-baik sahaja mengunjungi Anfield. Amiiiiiiiiiiiiin.

Sementara itu, Alvaro Morata setakat ini sudahpun menjaringkan 3 gol dan 2 bantuan gol dalam 3 penampilannya di Liga Perdana Inggeris. Punyalah power. Okay itu ajek aku nak kabor.

Nota Bola: Jika sesiapa mahukan ulasan mingguan berat sebelah lebih ke arah kem Manchester United, sila ke laman fb Ahmad Arieff Atan. Dia punya pasallah buat aku semangat nak menaip semula secara konsisten. Tapi aku musykil, masa Moyes dengan Van Gaal jaga Manchester United dulu sahabat aku ni lepak mana?


Thursday, August 31, 2017

Piala Dunia 2018: Jepun pasukan kedua dari Asia yang berjaya layak. Hah!


Empat tahun dahulu aku ada menulis satu entri tentang pasukan Jepun yang menjadi pasukan pertama layak ke Piala Dunia 2014 di Brazil. Entri pendek tersebut ada di link di bawah ini:

http://hadriegas.blogspot.my/2013/06/jepun-pasukan-pertama-layak-ke-piala.html

Seronok sebenarnya ada pasukan bola yang sedap dan kuat ni. Pasukan bola Malaysia pula aku dah lupa bila kali terakhir mereka menang bergaya dan berfaedah. Sebab itulah apabila pasukan bawah-23 tahun Sukan Sea layak ke Perlawanan Akhir, kita terkinja-kinja keseronokan. Inilah buktinya kita amat dahagakan pasukan bola yang kuat dan sedap.

Tahniah Jepun kerana sekali lagi layak ke Piala Dunia mengiringi satu lagi pasukan dari Asia - Iran. Ia bagaikan semudah mengira sifir 9 sebelum masuk ke kelas. Bagaikan rutin setiap empat tahun. Malaysia? Thailand pun duduk tempat corot dalam perinkat kumpulan kelayakan Piala Dunia ni. Jangan nak mimpilah kita layak ke Piala Dunia kecuali menjadi tuan rumah. Hah!

Saturday, August 5, 2017

Dari Kaki Ke Pena Hitam: London Itu JDT.

London Itu JDT.

Hari ini aku berada di Johor. Balik kampung. Sampai sahaja di rumah aku terus melincah ke kenduri kahwin kejiranan - selang lebih kurang 5 biji rumah dari rumah aku. Tengah aku sedap menyuap nasik minyak ke dalam mulut dengan semangat pengantin berkobar-kobar dalam jiwa aku ni, kedengaran dari kejauhan sang juruhebah memainkan pelbagai koleksi lagu berentak zapin dan ghazal. Naluri kuda kepang aku meronta-ronta mengajak berjoget di atas pelamin. Kaki kanan aku masa ni dah mula menghentak-hentak lantai. Mujur aku handal dalam mengelak pukau. Aku segera humming lagu Pelamin Anganku Musnah. Serta-merta aku sayu dan tak jadi turut serta dalam kesedapan berirama ghazal.

Ya anak muda sekalian, begitulah akrabnya ghazal dengan JDT. Macam manusia dengan facebook. Macam kau dan aku. Saling memerlukan. Chewaah..

Sebenarnya perkataan Ghazal ini berasal daripada Bahasa Arab yang bermaksud puisi kasih. Puisi ini salah satu jenis puisi paling popular di kalangan umat Arab sejak zaman jahiliyah.

Berdasarkan kajian, ghazal yang dipercayai berasal dari Parsi adalah merupakan sejenis nyanyian di kalangan orang muda di alam percintaan. Biasanya ikatan senikata ghazal terdiri daripada tiga atau empat baris. Namun begitu ia sudah cukup untuk menghasilkan sebuah cerita dalam lagu yang amat indah dan menghentak kaki. Tap. Tap. Tap.

Ya, selain bola sepak yang power nak mampos, Johor juga memiliki sistem muzik yang amat disegani serantau. Barisan penyanyi berbangsa Johor juga sangat bersepah. Inilah persamaan antara Johor dan London. Bola sepak yang power dan muzik yang meriah.

Jika di London ada The Rolling Stones, Iron Maiden, Deep Purple, Coldplay, David Bowie dan Led Zeppelin. Johor bangga mempunyai Kompolan Shiro, Joe Flizzow, Amy Search, Ramlah Ram, Mawi dan Noraniza Idris. Begitu juga dengan bola sepak. London mempunyai Arsenal, Fulham, West Ham, Spurs, Crystal Palace, QPR dan Chelsea. Manakala Johor tenang dengan memiliki pasukan JDT 1, 2, 3, 4, 5 dan 10986.

Sebut pasal London ni tak manis kalau kita abaikan perlawanan agong Piala Perisai Komuniti antara dua gergasi Kota Elit - Arsenal dan Chelsea Football Club pada malam esok. Pasukan mana yang akan kekal menjadi penguasa London sekurang-kurangnya untuk satu musim lagi? Adakah Arsenal sekali lagi menjadi pasukan pelengkap jadual? Mampukah Wenger mengekalkan momentum power sebelum Krismas dan layu selepas tahun baru? Bagi kaki judi pula, pasukan mana yang menjadi taruhan? Semua persoalan tok nenek akan terjawab pada malam esok.

Ah Sudahlah. Dah petang ni. Aku nak makan goreng pisang tanduk cicah kuah sambal kicap. Negeri kau takkanlah minum petang pun dekat mamak jugak?


Tuesday, July 18, 2017

Dari Kaki Ke Pena Hitam: Kitaran Bola Malaysia.

Gambar tiada kena mengena dengan tulisan.

Kitaran Bola Malaysia.

Kenapa FAM masih tidak membayar gaji bekas jurulatih mereka? Kenapa masih ada pasokan liga super yang gagal melunaskan gaji tertunggak sesetengah pemain. Bagaimana stadium Shah Alam masih steady menjadi gelanggang perlawanan walaupun bumbungnya runtuh dan padang rumputnya terkopak sana sini? Macam mana masih ada pemain pasukan negeri yang gagal melapor diri untuk tugasan negara? Jadual liga masih bertembung dengan kejohanan utama yang besar? Wujud lagi pasukan yang menolak siaran langsung dengan alasan stadium kosong kalau ada live? Betol ke Tan Sri Anuar Musa sudah nyanyok bola sepak?

Banyak betul persoalan berbentuk negatif jika kita mengekori bola sepak Malaysia secara dekat dan bersiri. Jaaaaarang berita positif sedap menjadi santapan halwa telinga. Kalau ada pun kisah askar menembak dan polo. Itu jelah yang mampu dibanggakan dan dijadikan modal. Apahal?

Lama jugak aku tak menulis pasal bola Malaysia. Ini kerana secara peribadi aku sendiri sudah naik muak dengan beberapa perkembangan yang tak patut dijadikan tajuk perbualan utama. Namun masih lagi hal yang sama diperkatakan. Masalah yang berulang dijadikan perdebatan. Macam baghal unta padang pasir.

Tidak boleh salahkan media kerana ini sahajalah berita pelaris yang mereka dapat jadikan sumber. Mereka juga berniaga. Cari duit. Mahu atau tidak berita lemah picisan macam inilah yang diulang siar.

Maka tidak hairanlah masih ramai lagi yang menjauhi bola sepak Malaysia. Salute untuk mereka yang masih tegar ke stadium. Membantu kantung persatuan bola sepak negeri hanya untuk bersalin tukar pemain import pada setiap tingkap perpindahan. Salute juga kepada generasi baru yang rajin bersembang perihal taktikal dalam bola sepak Malaysia. Padahal aku sendiri hanya nampak corak permainan tiada pedoman.

Bola sepak Malaysia perlu diselamatkan segera. Tidak boleh berlengah lagi. Manifesto presiden baru sudah dibentang. Jurulatih baru pasukan kebangsaan Malaysia sudah dipilih. Yang tinggal kini hanyalah deliver keputusan yang terbaik. Kita tahu usaha yang dilakukan ke arah kebaikan sudah tertulis. Cumanya kini kita menunggu hasilnya pula di atas layar hijau.

Harapnya juga pasukan negeri perlahan-lahanlah bertaubat. Bersikap professional. Tapi tulah. Yang jaga negeri dan negara pun terdiri daripada entiti yang sama. Sebab itulah bola sepak Malaysia kekal sendu. Batul ke salah kenyataan aku ini?

Berhentilah salah menyalahkan antara satu sama lain. Mengaku sahajalah kalau ada kegagalan dan kesilapan. Cari penyelesaiannya segera. Ramai rakyat Malaysia yang sudah bertahun-tahun bergelumang dengan kegagalan demi kegagalan. Dah lali. Kalah 10 gol berbalas 0 sekalipun sudah tak lut di dada. Kami sudah redho.

Masa awal awal perlantikan Presiden FAM yang baru dahulu ada jugak nampak ke Borneo buat perjumpaan. Malangnya kini dah tak nampak lagi perkara sebegini. Laman bola pula sibuk bersembang hal sukan yang tidak patut seperti polo dan juga menayang aksi tembak menembak di lapang sasar. Aku sekadar menulis kembali apa yang aku nampak. Sesal jugak kalau benda remeh macam gini dipandang sepi.

Sukan Sea semakin hampir. Ini sahajalah kejohanan besar buat pasukan bola sepak Malaysia buat masa ini. Mengharap Piala Asia 2019 jangan nak mimpi. Piala Dunia pula jauh sekali. Ibarat menanti janda anak satu yang masih mantap menjadi suri hati. Entahlaaaaaah..

Aku demam ni. Menaip sambil demam pun lincah bukan main lagi. Kalau sihat walafiat tak tahulah bila aku boleh berhenti. Heh!

Terimalah sebuah lagu penutup dari aku.

📣🎵🎶I Am Me
I Am Me📻🎧🎤📱
🎤🥁🎻🎸I Am Me

📡📹I Am Fun🎼🎵
⚰I Am Pretty🍷🦅
🚽I Am Beautiful💅
💃I’m A Queen👄💋